Assalamualaikum semua...
"Second chance".
Apa yang korang fikir bila dua patah perkataan ni wujud dalam hidup korang? Tipulah kalau semua orang tak pernah rasa peluang kedua. Sebab saya pun pernah rasa, hehe... Nak saya story sikit tak? Mesti nak kan? (Sorry kalau ada yang anggap saya "perasan", hahahaha).
Okay, maybe garapan cerita saya kali ini dalam bentuk sebuah kisah dalam persahabatan. Saya nak mengetengahkan kepentingan "kepercayaan" dalam sesebuah tali persahabatan. Sebelum tu, nama watak saya reka je ya... Selamilah cerita di bawah ini :
_________________________________________________________________________________
Tok..tok..tok..
Tiada sebarang suara dari dalam bilik yang menyahut ketukan Riyana sebentar tadi. Dua buah bagasi kepunyaannya segera ditarik ke dalam tatkala dia membuka pintu bilik asrama itu. Hairan, rakan sebilik barunya masih belum kelihatan. Tanpa berlengah masa, Riyana segera menyusun bagasinya dengan kemas di hujung katil. Dia juga sempat mengemas bilik yang baru diperolehnya bagi semester kali ini.
Tidak lama selepas itu, rakan sebiliknya yang baru telah tiba. Masing-masing memperkenalkan diri buat kali yang pertama.
"Nama saya Riyana. Saya dari kos Event Management. Awak pula?" sapa Riyana dengan mesra.
"Hai, nama saya Banun. Saya dari kos Dakwah." balas rakan sebiliknya itu.
Mendengarkan bahawa Banun merupakan pelajar dari kos Dakwah, terdetik di hati Riyana bahawa mungkin Banun dapat membimbingnya ke jalan yang diredhai. Untuk menjadi insan yang lebih baik. Dia tersenyum sendiri tanda gembira.
"Awak, saya harap kita dapat jadi sahabat yang rapat. Saya harap awak dapat membimbing saya. Jika saya ada salah, tegurlah saya secara depan-depan ya, jangan guna saluran yang lain. In shaa Allah, saya akan terima", pinta Riyana dengan rendah diri sambil tersenyum manis.
"In shaa Allah, awak," balas Banun dalam nada yang lembut.
Sejak itu, Riyana dan Banun bukan sahaja menjadi teman sebilik, malah mereka menjadi sahabat rapat yang saling berkongsi cerita dan pengalaman.
Tiba satu hari, ditakdirkan Riyana akan mengambil kuiz keesokan harinya. Dia gigih menghafal serta memahami setiap butir kata yang terkandung di dalam buku subjeknya itu. Cara belajarnya ternyata berbeza dengan Banun. Riyana perlu berkata sendirian dalam nada sederhana bagi mengingati apa yang dipelajarinya. Manakala, Banun hanya perlu membaca secara perlahan sambil earphone terletak kemas di telinganya. Macam manalah Banun boleh belajar sesenyap itu?, Riyana bermonolog sendirian.
Kuiz yang diambil oleh Riyana pada esok harinya ternyata berjalan dengan lancar. Dia berasa gembira. Usai menjawab kuiz, Riyana segera menghayun langkahnya ke kafe yang berdekatan. Perutnya sudah berbunyi. Dia berasa lapar. Dalam lekanya berjalan sendirian ke kafe, Riyana terserempak dengan Ana. Ana merupakan rakan yang tinggal satu blok asrama dengannya.
Ana melemparkan senyuman sambil mukanya menunjukkan reaksi yang agak aneh. Dia tertanya-tanya akan sebab Ana berkelakuan begitu. Setelah memaksa Ana untuk memberitahunya, Riyana terus terkedu. Makluman yang diketahuinya sebentar tadi amat memeranjatkan dirinya. Dia berasa tawar hati. Namun, digagahkan juga dirinya untuk menelan berita pahit itu. Dia perlu berlagak biasa. Dia ingin melihat adegan seterusnya.
Satu pagi, Riyana tertinggal subuhnya. Dia telah terlajak tidur. Maklumlah dia berasa penat pada malam hari itu disebabkan perlu menyiapkan tugasan individu.
Sekali lagi, hatinya dimamah pilu apabila mendengar berita kurang enak daripada Ana. Sebenarnya, dalam diam, Ana telah menjadi pengintip tidak berbayar Riyana bagi memaklumkan segala post yang di-update oleh Banun dalam Wechat miliknya. Ternyata, segala post tersebut merupakan sesuatu yang negatif mengenai diri Riyana. Riyana berasa amat sedih dan tawar hati tika itu. Apakah nilai persahabatan Banun kepadanya? Adakah Banun memandang enteng akan nilai kepercayaan dalam persahabatan mereka? Apakah Banun tidak ikhlas bersahabat dengannya? Adakah Banun hanya akan berfikir negatif sahaja mengenai dirinya? Tiada sekelumit rasa kasihnya kepada Riyana?
Bertubi-tubi soalan yang keluar dari kotak fikiran Riyana. Dia rasa perlu baginya untuk berdepan dengan Banun bagi menyelesaikan segala kekusutan yang ada. Hal itu tidak boleh dibiarkan lagi. Dia harus membersihkan namanya.Jika dibiarkan lama-lama, pasti akan bertambah parah.
"Banun, saya ada something nak cakap dengan awak. Tapi, saya harap awak dapat dengar dulu apa yang saya nak sampaikan. Jangan pangkah dulu," pinta Riyana secara tegas.
Banun berasa pelik.
"Awak nak cakap apa, Riyana? Kenapa awak nampak lain je?," tanya Banun berbasa-basi.
"Pedulikan jika saya nampak weird ke apa ke kat mata awak. Lagipun, benda ni tak penting daripada apa yang saya nak sampaikan kat awak nanti,"tukas Riyana.
"Okay, awak nak cakap apa? Saya sedia mendengar.," balas Banun sambil melemparkan riak muka kurang senang hati.
"First of all, saya nak tanya awak balik, ada tak saya bagi pesanan kat awak since first day kita jadi roommate? Saya pesan, kalau saya ada salah, tegur saya depan-depan, jangan gunakan saluran lain kan?," beritahu Riyana sambil melemparkan senyuman sinis.
"Kita pun tahu kan, jika buka aib manusia, di dunia kita memang lepas, tapi di akhirat? Saya sedar saya tidak bertudung labuh macam awak. Tapi, sekurang-kurangnya saya tidak membuka aib kawan-kawan saya di khalayak umum. Awak tahu kan hukum buka aib orang kan?," tanya Riyana dengan tegas.
Mata Banun terkebil-kebil mendengar keterangan daripada Riyana. Dia masih tidak dapat menangkap butir maksud yang ingin disampaikan oleh Riyana. Adakah Riyana sudah tahu akan komen negatif yang dipaparkan Banun di Wechat? Oh, tak mungkin...Riyana mana ada Wechat, telah hati kecil Banun.
"Awak mesti tertanya-tanya kan dari mana saya tahu pasal awak post kat Wechat..Mengenai saya, dan berita tersebut negatif,"beritahu Riyana.
Alamak, mana Riyana tahu ni? Mesti ada spy, telah Banun sendirian.
Riyana segera menunjuk Banun segala bukti yang ada. Riyana telah meminta Ana untuk screenshot komen-komen Banun di Wechat. Ternyata pintar juga Riyana dalam hal-hal tersebut meskipun baru pertama kali dia mengalami masalah seperti itu.
Post 1:
"Awak, awak boleh baca perlahan-lahan sikit tak? Saya rimas la dengar awak baca kuat-kuat. Jujur aku cakap, aku tak suka!"
Post 2:
"Haih dia ni, tak reti nak bangun subuh ke? Susah aku dapat roommate macam ni. Jangan tarik aku ke neraka sudah"
Begitulah
post yang telah dipaparkan oleh Banun di dalam
Wechat. Alangkah terkejutnya dia kerana Riyana mengetahui akan hal itu. Dia terdiam seribu bahasa. Badannya tidak berkutik sedikitpun.
"Banun, saya amat menghargai jasa awak sebab awak ada
effort nak tegur saya. Tapi, awak guna saluran yang lain. Saya mana ada
Wechat. Macam mana saya nak tahu kesalahan saya dan macam mana saya nak perbetulkan kalau awak tegur dalam tu? Terang-terang saya tak tahu. Saya ingat, awak boleh bimbing saya dengan baik, tapi saya tawar hati sebab awak dah buatkan kepercayaan saya kat awak hilang," tukas Riyana.
Tiba-tiba, mutiara jernih mengalir dari mata Banun. Dia sedih, ada betul apa yang diperkatakan oleh Riyana. Dia telah menggunakan cara yang salah untuk berdakwah. Dia gagal. Dia malu kerana Riyana lebih mulia daripadanya. Dia gagal menunjukkan teladan yang baik. Dia telah memungkiri janji persahabatan mereka. Segera, langkahnya dihayun bagi mendapatkan Riyana. Dia segera memeluk erat kaki Riyana serta meminta maaf atas kekhilafannya.
Riyana bukan seorang yang pendendam. Dia memiliki hati yang murni. Segala salah silap Banun segera dimaafinya. Baginya, tidak perlu hal tersebut disimpan lama-lama. Kelak, bernanah hatinya. Dia perlu melupakan sengketa yang lama agar hatinya menjadi tenang.
"
Let's start over" tiga patah perkataan ini terbit dari bibir mungil Riyana. Dia tersenyum.
So, moral of the story:
1) If you are lucky enough to get a second chance, don't waste it.
2) Everyone deserves a second chance.
3) Manusia tidak layak menghukum insan yang lain. Jika masing-masing membuat silap, tetaplah saling memaafkan antara satu sama lain. (Biar hati tenang).
4) Jika mahu berdakwah, tetapkan niat sama ada mahu mendapat pujian daripada manusia atau redha daripada Allah. Jaga-jaga jika mahu berdakwah melalui laman sosial seperti
Facebook, Instagram, Twitter, Wechat, and so on as long as tidak membuka aib orang lain.
May Allah bless all of us. Thanks sebab sudi luangkan masa untuk membaca kisah ini.