MUKJIZAT SEDEKAH
Assalamualaikum,selamat bersua kembali :)
Hari ini, saya ingin berkongsi mengenai mukjizat bersedekah. Kita perlu tahu, sedekah tidak seharusnya dengan cara kita mengeluarkan wang, tetapi boleh juga melalui perkongsian ilmu yang kita peroleh, tenaga, senyuman, masa, dan lain-lain.
Sebagai contoh, jika kita merupakan seorang pengajar, ilmu yang dicurahkan kepada anak murid akan sentiasa dipraktikkan tiap masa oleh mereka. Jika anak murid kita mengajar orang lain yang tidak mempunyai sesuatu pengetahuan akan hal tertentu dan dia celik minda selepas itu, kita akan diberikan ganjaran pahala. Ingatlah, pahala akan terus mengalir kepada pengajar sekiranya anak murid mereka mengaplikasikan ilmu tersebut sepanjang masa. In shaa Allah. Nah, ini merupakan mukjizat jika kita bersedekah melalui ilmu yang kita peroleh. Ingatlah, ilmu itu penting. Jika tiada ilmu, ibarat pohon yang tidak berbuah.
Selain itu, senyuman juga merupakan suatu sedekah. Jika kita senyum, nescaya orang akan senang melihat kita. Janganlah serius atau monyok setiap masa kan? Jika kita mengamalkan gaya yang positif ini iaitu dengan menghiaskan wajah kita dengan senyuman, nescaya orang ramai akan menyenangi kita.Hal ini boleh mendatangkan perasaan baik sangka seseorang kepada kita. Mana tahu, mungkin mereka juga ingin turut membalas senyuman kita kan?
Di samping itu, bagaimana ingin bersedekah melalui tenaga? Mungkin kita boleh melakukan kebaikan melalui perlakuan kita.Sebagai contoh, kita melibatkan diri dalam usaha mengimarahkan surau atau masjid di kawasan berhampiran rumah kita. Tiap kali adanya sesuatu majlis, kita ringan tulang untuk membuat sesuatu tugasan yang diperlukan di sana. Nah, sedekah melalui tenaga pun boleh ya :)
Akhir sekali, ingin saya kongsi mukjizat sedekah melalui wang. Tahu tak, sedekah dapat membantu kita untuk menolak 70 pintu bala? Yang pasti, haruslah yakin dan beriman dengan kekuasaan Allah.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Sedekah seseorang kamu yang ikhlas itu akan menutup 70 pintu kejahatan. Sedekah seseorang kamu itu akan dibalas oleh Allah dengan 4 jenis pembalasan iaitu:
1) 1 sedekah akan dibalas dengan 10 kali ganda apabila kita bersedekah kepada fakir miskin.
2) 1 sedekah akan dibalas dengan 70 kali ganda jika kita bersedekah kepada kaum keluarga dan sanak saudara
3) 1 sedekah akan dibalas dengan 700 kali ganda jika kita bersedekah kepada sahabat handai dan teman-teman.
4) 1 sedekah akan dibalas dengan 1000 kali ganda jika kita bersedekah kepada penuntut ilmu dan fi sabilillah (orang yang berjihad ke jalan Allah)
Nah, tak nak rebut ya sahabat yang saya kasihi? Mudah sahaja ingin menjemput rezeki. Bersama-samalah kita mengamalkan amalan bersedekah. Ingatlah "bersedekah tidak akan sesekali membuat kita miskin". Sekian daripada saya :
